Kejuruteraan Kimia merupakan bidang kejuruteraan yang merangkumi hampir semua sektor industri operasi pembuatan, pembangunan produk dan pemprosesan. Bidang Kejuruteraan Kimia mendalami proses pengolahan tenaga dan bahan mentah kepada bentuk tenaga dan produk yang berguna seperti penghasilan bahanapi, penjanaan elektrik, pengeluaran bahan kimia industri dan bahan kimia pengkhususan, pembuatan produk plastik, polimer, tekstil, makanan, farmaseutikal hinggalah pada produk kosmetik. Jurutera kimia berperanan untuk mengadaptasi tindakbalas kimia skala makmal untuk dinaiktaraf ke skala pengeluaran industri dengan mengaplikasikan pengetahuan ilmu Matematik, Sains Fizik, Sains Kimia, Sains Biologi dan Teknologi Kejuruteraan. Program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia yang ditawarkan menekankan aspek kemahiran rekabentuk, pembinaan, kawalan operasi dan keselamatan loji kimia dan proses.